Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 31 Disember – Rakyat Kelantan yang berminat untuk terlibat secara sah dalam aktiviti mendulang emas boleh mula mengemukakan permohonan lesen bermula esok, 1 Januari 2026.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap permohonan akan diproses oleh kerajaan negeri mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
Jelasnya, pembukaan permohonan itu susulan penetapan beberapa kawasan berpotensi yang dikenal pasti mempunyai mineral emas dan akan digazetkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kawasan yang dicadangkan untuk digazetkan akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Exco sebelum dibentangkan bagi kelulusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Kawasan yang dikenal pasti melibatkan beberapa daerah termasuk Jeli, Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai. Proses penggazetan memerlukan kelulusan MMK sebelum aktiviti mendulang boleh dijalankan secara sah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut menjelaskan bahawa rakyat Kelantan yang berminat boleh mengemukakan permohonan lesen mendulang bermula esok dan semua permohonan akan dinilai serta diproses oleh kerajaan negeri.
Namun begitu, katanya, tidak semua permohonan akan diluluskan kerana kerajaan negeri akan meneliti setiap permohonan berdasarkan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
“Kita akan proses setiap permohonan secara berperingkat. Kelulusan tidak bersifat automatik kerana pemohon perlu memenuhi kriteria tertentu,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa borang permohonan lesen mendulang boleh diperoleh secara manual di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG).
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak pembeli emas juga diwajibkan berurusan dengan PTG bagi mendapatkan kelulusan rasmi untuk membeli emas daripada pendulang yang berlesen, sebagai langkah kawal selia dan pematuhan undang-undang.
Mengulas sambutan orang ramai, beliau berkata kerajaan negeri menerima maklum balas positif serta minat yang tinggi terhadap inisiatif tersebut, khususnya melalui media sosial, namun jumlah sebenar pemohon masih belum dapat dipastikan.
“Tempoh memproses permohonan bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima serta sebarang isu atau perkara yang memerlukan penelitian lanjut. Jika permohonan banyak, proses ini mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.

0 Comments