Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 1 Disember - Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menegaskan bahawa sekolah perlu menjadi tempat selamat bagi semua pelajar dan menyeru para pelajar menolak gelaja buli.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ceramah Kesedaran Undang-Undang, Masalah Sosial, Buli dan Permasalahan Remaja Sekolah di SMU (A) Meheliah, Geting, Tumpat, semalam.
"Kalau siapa yang buli orang, kita buang dia dari sekolah ini" tegasnya kepada para pelajar di sekolah tersebut.
Beliau turut menyeru para pelajar supaya bijak memilih sahabat dan menjauhi pengaruh negatif.
“Kita mahu pelajar SMU bijak memilih sahabat. Kes buli hari ini bukan hanya melibatkan ejekan, tetapi turut merangkumi perbuatan sepak, tendang, cubit, kecederaan serius bahkan membawa maut,” katanya di laman sosial, semalam.
Tambahnya, menurut data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kes buli meningkat daripada 6,268 kes pada 2024 kepada 7,681 kes pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 22.5 peratus.
Situasi itu menunjukkan sistem pendidikan perlu memberi perhatian serius supaya pelajar tidak merasa takut berada di asrama atau persekitaran sekolah.
Beliau menegaskan prinsip asas yang perlu dipegang oleh para pelajar.
“Jika kita tidak mahu orang melakukan sesuatu yang buruk kepada kita, jangan lakukan perkara itu kepada orang lain. Jangan sekali-kali kita menjadi penyokong atau membantu perbuatan buli.” tegasnya.
YB Mohd Adanan juga berpesan kepada pelajar di sekolah itu dengan menyentuh punca-punca berlakunya kes buli di sekolah.
“Antara punca berlakunya kes buli ialah pengaruh sekeliling seperti video pergaduhan, kandungan ganas, pengaruh rakan sebaya dan perasaan marah yang dilampiaskan pada harta benda sekolah” jelasnya.
Beliau juga menyeru guru-guru di sekolah berkenaan memainkan peranan sebaiknya.
“Guru-guru juga memikul amanah besar di sisi Allah SWT. Tanggungjawab mendidik bukan sekadar akademik, tetapi membentuk akhlak. Islam mengajar kita menjaga lidah daripada berkata buruk, dan melarang menggunakan anggota badan untuk menyakiti orang lain.
“Semoga usaha kesedaran seperti ini mampu melahirkan pelajar berakhlak, berani menolak budaya buli, dan mampu memimpin masyarakat dengan ilmu serta adab,” ujarnya.



0 Comments