Stok Dirham habis terjual, KGT tangguhkan sementara transaksi pembelian


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Disember - Stok Dirham Kelantan Gold Trade (KGT) yang merangkumi Dirham Fizikal, e-Dirham serta jualan di seluruh cawangan habis terjual sepenuhnya berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

KGT dalam satu kenyataan di laman sosial pada Ahad menyatakan, susulan kehabisan stok tersebut, semua transaksi pembelian Dirham di ibu pejabat (HQ), cawangan KGT BizPoint serta menerusi platform EDND tidak dapat dilakukan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

Kata kenyataan tersebut, makluman berkaitan kemasukan stok baharu akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi syarikat bagi memastikan pelanggan menerima maklumat yang sah dan terkini.


“Permintaan yang amat menggalakkan ini mencerminkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap Dirham sebagai alternatif simpanan dan transaksi yang patuh syariah, selamat serta telus,” menurut kenyataan tersebut.

KGT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pelanggan atas kepercayaan serta sokongan berterusan yang diberikan terhadap produk Dirham.

"Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan anda," katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti saluran rasmi KGT bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung status stok dan urusan pembelian pada masa akan datang.

Post a Comment

0 Comments