Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 10 Disember – Usaha penanaman rumput minyak yang dijalankan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC) di Kelantan BioArt memudahkan penternak untuk mendapatkan bekalan makanan haiwan ternakan khususnya ketika musim hujan, kata Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Menurutnya, kawasan seluas 40 ekar di Jeram Pasu kini ditanam dengan rumput minyak yang kemudiannya diproses menjadi silaj dalam bentuk baler.
"Inisiatif ini membantu memastikan bekalan makanan ternakan kekal stabil meskipun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Rumput yang diproses itu bukan sahaja tahan lama, malah mampu meningkatkan selera haiwan ternakan.
"Setiap baler seberat antara 30 hingga 40 kilogram dan dijual pada harga RM15, sekali gus menjadi alternatif lebih mudah dan berpatutan kepada para penternak," katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Penternak yang berminat boleh menghubungi KBC atau datang sendiri ke tapak Kelantan BioArt di Jeram Pasu bagi mendapatkan bekalan. Usaha ini dilihat dapat membantu penternak yang menghadapi kesukaran mendapatkan rumput segar.
Tambah Dato' Tuan Mohd Saripudin, rumput minyak yang dibungkus dalam bentuk baler mampu bertahan sehingga satu bulan selagi tidak dibuka, menjadikannya pilihan yang praktikal untuk penyimpanan jangka sederhana.


0 Comments