200 pelajar DUN Panchor terima bantuan awal persekolahan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 6 Januari - Sebanyak 200 pelajar sekolah rendah dan menengah DUN Panchor menerima bantuan awal persekolahan pada majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Tok Ayah Kedah Komtar, Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panchor YB Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, program tersebut melibatkan pelajar daripada pelbagai latar belakang dan bertujuan meringankan beban keluarga, khususnya dalam menghadapi permulaan sesi persekolahan baharu.

“Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Peringkat DUN Panchor melibatkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah ini menyaksikan 200 orang penerima,” katanya di laman rasmi, hari ini. 

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan itu merupakan manifestasi keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar dan komitmen dalam memperkasa masa depan pendidikan generasi muda di DUN Panchor.

“Sumbangan ini sebagai manifestasi keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan masa depan pendidikan anak-anak DUN Panchor,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan agar para pelajar menjadikan bantuan yang diterima sebagai dorongan untuk terus berusaha dan menanam azam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Semoga para pelajar menanam tekad untuk belajar dengan bersungguh-sungguh, mengejar kecemerlangan dan berani memasang impian besar,” katanya.


Dato’ Sri Amar turut menekankan kepentingan ilmu dan pendidikan yang kukuh sebagai asas kejayaan, dengan mengambil contoh kejayaan tokoh muda tersohor yang menjadi inspirasi kepada generasi kini.

“Kejayaan perlu disokong dengan ilmu dan pendidikan yang kukuh, sebagaimana kejayaan tokoh muda tersohor seperti Khairul Aming yang berjaya menggabungkan kecemerlangan pelajaran dan kejayaan bisnes hingga menjadi inspirasi kepada generasi muda hari ini,” katanya.



Post a Comment

0 Comments