Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 Jan – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkukuh agenda kesihatan awam negeri selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat serta Kelantan Sihat 2030, dengan memberi penekanan kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pengawalan penyakit berjangkit.
Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan bahawa antara fokus utama program Portfolio Kesihatan bagi suku pertama tahun 2026 ialah memperkasakan inisiatif pencegahan NCD, khususnya melalui pelaksanaan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR).
Menurutnya, usaha itu dipergiatkan berikutan Kelantan telah dicalonkan bagi Asean Smoke Free Award (ASA) 2026, sekali gus memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai pihak.
“Kerjasama erat antara penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam pelaksanaan bersama Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) amat diharapkan.
“Selain itu, sokongan badan bukan kerajaan (NGO) negeri juga diperlukan dalam mempromosikan kesihatan mental kepada masyarakat awam,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Tambahnya, bagi pengawalan penyakit berjangkit pula, tumpuan diberikan kepada kempen kesedaran untuk mengurangkan kes demam kepialu dan leptospirosis, seiring usaha PBT menarik lebih ramai pelancong ke lokasi pelancongan yang telah dinaik taraf.
“PBT akan digerakkan untuk meningkatkan pemantauan kebersihan premis, keselamatan serta kualiti makanan dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B).
“Pengusaha juga digalakkan mendapatkan sijil Premis Bersih, Tandas Bersih dan Menawan (TMC), Home Based Food (HBF) serta pensijilan halal,” jelasnya.
Mengulas lanjut, YB Hilmi berkata antara kempen lain yang dirancang ialah memperkasakan perkhidmatan kesihatan khususnya bagi warga emas, termasuk meningkatkan kemudahan akses ke fasiliti kesihatan.
“Insya Allah, program kempen kesedaran gaya hidup sihat akan diteruskan secara berterusan sehingga berjaya melahirkan rakyat Kelantan yang sihat dan sejahtera,” katanya.
![]() |
| Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dato’ Dr Mohd Azman Yaacob |
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dato’ Dr Mohd Azman Yaacob yang menggantikan Dato’ Dr Zaini Husin yang bersara wajib.
Sempena kunjungan itu, Dato’ Dr Mohd Azman membentangkan laporan program dan perkhidmatan kesihatan semasa negeri Kelantan bagi makluman serta tindakan bersama kerajaan negeri dan seluruh PBT.
Matlamatnya ialah ke arah merealisasikan agenda melahirkan rakyat Kelantan yang sihat dan sejahtera selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Kelantan Sihat 2030.
Turut hadir, semua Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri.



0 Comments