Oleh: Fathi Ariffin
KOTA KINABALU, 6 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor mengadakan lawatan rasmi ke Sabah Tourism Board (STB) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama pelancongan antara dua negeri, khususnya menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurut Datuk Kamarudin, lawatan tersebut bertujuan menjalankan kajian penanda aras berhubung model penubuhan dan pengurusan badan berkanun pelancongan negeri yang telah dilaksanakan di Sabah, di samping membuka ruang perbincangan dua hala berkaitan tadbir urus pelancongan, strategi pemasaran serta pengurusan destinasi.
“Pemain industri pelancongan Kelantan pun aktif berinteraksi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong dari Sabah,” katanya.
![]() |
| Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor |
Beliau berpuas hati dengan impak lawatan dan turut menjelaskan bahawa lawatan tersebut dilihat sebagai langkah signifikan dalam usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperkasa sektor pelancongan secara lebih tersusun, mampan dan berdaya saing.
"Usaha ini selari dengan aspirasi pembangunan negeri serta persiapan rapi menghadapi peluang dan cabaran industri pelancongan nasional pada masa hadapan," ulasnya.
Delegasi Kelantan disambut mesra oleh Pengurus Pemasaran STB Bobby Alex serta Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat STB Suzan Chan yang turut menyampaikan taklimat dan penerangan menyeluruh mengenai hala tuju, strategi promosi serta kekuatan ekosistem pelancongan Sabah di peringkat domestik dan antarabangsa.
![]() |
| Suzan Chan dan Bobby Alex |
Bobby menekankan kepentingan pendekatan pemasaran bersepadu yang melibatkan kerajaan, industri dan komuniti setempat bagi memastikan pengalaman pelancongan yang tulen, mampan dan bernilai tinggi kepada pelawat. Beliau turut berkongsi pengalaman STB dalam membina jenama destinasi Sabah yang berdaya saing melalui penceritaan budaya, alam semula jadi serta penglibatan aktif pemain industri.
Manakala Suzan pula menerangkan aspek pengurusan korporat dan tadbir urus STB, termasuk peranan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan persatuan pelancongan dalam memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif promosi dapat berjalan secara tersusun dan berkesan.
Pada sesi perbincangan, wakil Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) Pantai Timur Mimi Rodiah Abdul Rahman mencadangkan agar pihak pelancongan Sabah dapat memberikan penerangan yang lebih jelas kepada pelancong dari Sabah untuk berkunjung ke Kelantan melalui saluran yang betul, khususnya agensi pelancongan berlesen.
![]() |
| Mimi Rodiah Abdul Rahman |
“Pendekatan tersebut penting supaya pelancong dapat menikmati sepenuhnya tawaran yang dipromosikan seperti aktiviti melukis batik, permainan gasing, wayang kulit serta penglibatan dalam kehidupan tradisi masyarakat kampung di Kelantan.
“Jika pelancong datang secara DIY, potensi untuk mereka menyaksikan dan menyertai kegiatan tradisional warga Kelantan adalah agak tipis,” kata Mimi Rodiah.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Exco Pelancongan. Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang, Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Kelantan Mohd Azwan Ab Rahman, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan Wan Illy Liana Wan Mat dan Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan Azman Md Dahan.




0 Comments