TUMPAT: Tahun 2026 dianggap sebagai detik penentu yang akan menguji kesiapsiagaan, kesatuan dan keutuhan setiap jentera PAS bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-16.
Yang Dipertua PAS Tumpat Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, PAS kawasan itu tidak boleh berada di zon selesa atau bergerak secara rutin seperti biasa.
“Kita mesti melangkah dengan penuh kesedaran bahawa setiap gerak kerja, setiap keputusan yang kita buat dan setiap usaha yang kita laksanakan akan menjadi penentu kepada hala tuju perjuangan hari esok,” katanya pada Himpunan Amanat Tahun Baru PAS Tumpat di sini hari ini.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah; Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan pimpinan PAS Tumpat.
Menurutnya juga PAS Tumpat kekal berdiri hingga ke hari ini kerana kekuatan sebenar perjuangan terletak kepada kesatuan saf dan keikhlasan ahli, bukan kepada jawatan atau nama seseorang.
Kata beliau PAS Tumpat pernah melalui fasa getir, berdepan tekanan, kekangan dan pelbagai ujian, termasuk episod hitam dalam sejarah perjuangan.
Menurutnya dua bekas ahli parlimen dan mantan Yang Dipertua Tumpat pernah keluar parti, menyimpang daripada prinsip serta disiplin jamaah.
Katanya peristiwa itu perlu menjadi pengajaran perjuangan Islam tidak boleh bergantung kepada individu, sebaliknya mesti berpaut kukuh kepada aqidah, tarbiah dan kesetiaan kepada jamaah.
Sejarah
PAS mula bertapak di Tumpat sekitar tahun 1959 seiring dengan perkembangan PAS di seluruh Kelantan.
Gerakan awal dipelopori tokoh-tokoh agama tempatan termasuk Almarhum Tuan Guru Haji Sulaiman Omar yang mewakaf tanah pejabat PAS Tumpat.
Selain itu Almarhum Tuan Guru Yaakob Kelong Pondok Berangan dan Tuan Guru Daud (Pondok Geting), yang berperanan menyebarkan kefahaman perjuangan Islam dalam politik kepada masyarakat kampung.
“Berteraskan amanah inilah dalam konteks PAS Tumpat, kita mesti terus cakna dan dekat dengan denyut nadi rakyat,” ujarnya.
Wan Roslan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, setiap pimpinan hendaklah sentiasa cakna isu-isu rakyat seperti banjir, kebajikan nelayan dan petani serta peluang pekerjaan anak muda.
Selain itu, kos sara hidup yang semakin meningkat, masalah perumahan, kemudahan asas serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
“Saya menyeru seluruh ahli PAS Tumpat, tanpa mengira jawatan dan peringkat supaya melaksanakan segera dan dengan penuh amanah setiap ketetapan yang disenaraikan di Konvensyen PAS Kelantan tahun lalu.
“Tahun 2026 menuntut kita untuk bekerja dengan lebih serius, lebih tersusun dan lebih bersatu.
“Ini bukan tahun untuk mendabik dada dengan pencapaian lalu, tetapi tahun untuk memperkemas jentera, memperkukuh saf dan memantapkan hubungan dengan rakyat,” tambahnya.
Menurutnya juga sekiranya setiap pendukung PAS bergerak atas dasar keikhlasan, disiplin jamaah dan kebergantungan penuh kepada Allah SWT, maka kemenangan bukan mustahil dicapai.





0 Comments