Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Langkah
pengasingan kuasa perdana menteri (PM) dan menteri kewangan lebih kritikal
berbanding cadangan had tempoh jawatan perdana menteri maksimum 10 tahun.
Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun kerajaan memperjuangkan pengukuhan tadbir urus menerusi cadangan itu, namun ia tidak bermakna jawatan perdana menteri tanpa diasingkan dengan menteri kewangan.
"Kita perkasakan soal integriti bukan hanya kepada tempoh tertentu supaya kalau sekiranya nilai-nilai integriti tidak diberikan penekanan, tempoh dan penyalahgunaan boleh berlaku bila-bila masa.
"Jadi oleh kerana itu soal amanah, tanggungjawab, panduan pentabiran serta pengukuhan nilai perlu diberikan perhatian yang serius," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi menghadkan jawatan perdana menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan untuk memperkukuh sistem demokrasi, menghalang penyalahgunaan kuasa melalui pengukuhan tadbir urus dan memastikan kesinambungan reformasi institusi penting negara.
Sempena Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke 15 baru-baru ini, Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar turut memberi sokongan terhadap reformasi institusi.
Baginda juga menyokong langkah kerajaan memisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya bagi memberi keadilan lebih telus dan pengenalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan institusi Ombudsman.
Sementara itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menyatakan pendirian rasmi Perikatan Nasional untuk menyokong pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan perdana menteri secara bersyarat.
Beliau berkata, antara syarat utama perdana menteri tidak dibenarkan memegang jawatan menteri kewangan secara serentak, bahkan pengasingan kuasa itu lebih penting daripada menghadkan tempoh jawatan perdana menteri.



0 Comments