AZM Rovers FC Juara Liga A2 Amateur 2025/2026, tonjol potensi anak muda Kelantan


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 26 Januari – Kejayaan pasukan AZM Rovers FC muncul sebagai juara Liga A2 Amateur musim 2025/2026 disifatkan sebagai bukti jelas kemampuan dan potensi besar anak muda Kelantan dalam arena bola sepak negara.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, kemenangan bergaya 3-0 ke atas USM FC dalam perlawanan akhir di Stadium MP Selayang, pada Sabtu, merupakan hasil kerja keras dan disiplin tinggi pasukan sepanjang musim.

“Kejayaan ini membuktikan bakat, disiplin serta semangat juang tinggi anak-anak Kelantan yang tidak pernah kenal erti mengalah,” katanya menerusi satu kenyataan di laman rasmi beliau pada Sabtu.


Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Kelantan, malah menjadi suntikan semangat kepada golongan muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang sukan.

“Ia menjadi inspirasi besar kepada anak muda negeri ini bahawa dengan usaha, kesungguhan dan sokongan padu, kita mampu melakar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemain, barisan jurulatih serta keseluruhan pengurusan pasukan atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan.

“Syabas kepada seluruh warga pasukan AZM Rovers FC. Teruskan momentum ini dan jadikan kejayaan ini sebagai asas untuk melangkah lebih jauh demi mengharumkan nama Kelantan dalam arena bola sepak negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments