Oleh: Salmah Mat Husain |
PASIR MAS: Operasi
BAS.MY Kota Bharu akan diperluaskan sehingga ke kawasan Dewan Undangan Negeri
(Dun) Meranti memandangkan mendapat permintaan menggalakkan daripada orang
ramai.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut mempelawa BAS.MY Kota Bharu beroperasi sehingga ke Dun Meranti.
“Sokongan menteri besar amat dihargai bagi keperluan mobiliti rakyat di kawasan berkenaan,” katanya pada Program Pendaftaran Kad Konsesi dan Kad 30 Hari BAS.MY Kota Bharu di Meranti Sabtu lepas.
Program itu dianjur dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti.
Che Ibrahim juga berkata, program terbabit turut mendekatkan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat bagi membantu perjalanan harian lebih mudah dan kos efektif.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Konsortium E-Mutiara Berhad untuk memperluas akses mobiliti yang inklusif dan mampan selaras dengan komitmen menyediakan perkhidmatan mesra rakyat.
“Diharap program seumpama ini menjadi pemangkin kepada kemudahan hidup yang lebih baik serta perjalanan harian lebih efisien bagi masyarakat setempat,” ujarnya.
Kata beliau juga lebih 250 pendaftaran Kad Konsesi direkod melibatkan pelajar, warga emas serta golongan yang layak sempena program berkenaan.
Kad terbabit digunakan untuk keperluan perjalanan menggunakan bas termasuk ke tempat kerja, urusan keluarga dan aktiviti seharian.




0 Comments