Umno boleh laksana Islam di negeri ditadbir

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar mahu melaksanakan Islam secara menyeluruh, bukan sekadar menjadikannya slogan politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kalau benar Umno mahu beramal dengan Islam ia perlu dibuktikan dengan tindakan.

Katanya, perjuangan Islam tidak memadai sekadar diletakkan dalam perlembagaan atau diungkapkan melalui retorik politik.

“Sejarah membuktikan PAS sejak awal lagi meletakkan asas Membangun Bersama Islam di Kelantan.

“Malah asas tersebut mengikut bidang kuasa yang diperuntuk kepada kerajaan negeri,” katanya kepada media di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berharap PAS akan 'terbubar sendiri' kerana Umno lebih awal meletakkan Islam di hadapan menerusi pindaan perlembagaan parti pada 2019.

Menurutnya Umno banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mohamed Fadzli berkata, kenyataan pemimpin Umno sebelum ini yang kononnya ingin menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan tidak pernah diterjemahkan secara menyeluruh dalam pentadbiran di negeri yang mereka kuasai.

“Kalau sekadar menyebut Islam, tetapi tidak berani mempertahankannya apabila dicabar, maka ia tidak membawa makna apa-apa kepada rakyat.

“Sedangkan Kelantan telah melaksanakan apa yang berada dalam bidang kuasanya, termasuk undang-undang takzir, manakala pelaksanaan hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kekangan di peringkat Persekutuan.

“Walaupun begitu, Kelantan telah menyediakan enakmen berkaitan. Dari sudut kesediaan, kita sudah bersedia. Jika diberi kuasa, kita akan laksanakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya berdasar realiti di negeri-negeri yang ditadbir Umno pendekatan tersebut jauh berbeza dengan apa yang dilaksanakan di Kelantan sejak puluhan tahun lalu.

Beliau menegaskan, PAS akan terus membuktikan komitmen melaksanakan Islam di Kelantan.

 

Post a Comment

0 Comments