KOTA BHARU:
Pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) menyaksikan perubahan
berlaku di sekolah bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk pengamalan agama
lebih baik dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar.
Perubahan tersebut dapat dilihat terutamanya aspek solat dan penjagaan aurat. Selain itu kadar kesalahan disiplin pelajar juga menurun.
Pengetua Maahad Tarbiah Mardhiah (MTM Panchor, Ustaz Najmuddin Abdullah berkata, kadar kesalahan disiplin pelajar menurun sehingga 20 peratus setelah dasar tersebut dilaksanakan dalam tempoh setahun.
Katanya, sekolah terbabit melaksanakan DPRK sebagai sekolah perintis bermula pada 2021.
"Kalau dahulu ada kes sampai kena buang sekolah sebelum Covid-19. Laporan itu berdasarkan penemuan berkaitan disiplin selepas pelaksanaan DPRK," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan semalam.
Menurutnya juga 2026 merupakan tahun pelaksanaan sepenuhnya DPRK selepas hampir lima tahun dasar tersebut diuji keberkesanannya membabitkan 10 sekolah YIK.
Kata beliau sekolah terbabit berjaya melaksanakan 80 hingga 85 peratus daripada sembilan prinsip menjadi komponen utama DPRK, sejak diperkenalkan pada tahun 2021.
“YIK dan Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) memberi bimbingan dan panduan sekolah terbabit bagi menjadikan institusi itu sebagai sekolah contoh dan panduan kepada 93 sekolah kelolaan YIK,” ujarnya.
Pada awal tahun lepas YIK melancar pelaksanaan DPRK membabitkan 10 sekolah sebagai projek perintis.
Sekolah terbabit iaitu Maahad Muhammadi Lelaki; Maahad Muhammadi Perempuan; Maahad Muhammadi, Tumpat; Maahad Syamsul Maarif (Perempuan), Machang; Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah.
Selain itu Maahad Pengajian Islam; Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Al-Ittihadiah, Tanjung Pagar, Ketereh; Maahad Tarbiah Mardhiah, Panchor; SMU (A) Tarbiah Islamiah, Chabang Empat, Tumpat dan SMU (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang, Tumpat.
Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan merupakan inisiatif kerajaan Kelantan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan Islam secara holistik dan bersepadu.
Ia bertujuan melahirkan generasi insan Rabbani yang seimbang dalam penguasaan ilmu dunia dan akhirat dengan menekankan aspek pendidikan jasmani, rohani, mental dan spiritual.



0 Comments