Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 12 Januari — Slogan “Set Kito Jange Pecoh” diharap menjadi pemangkin kepada kesatuan dan kebersamaan NGO anak-anak Kelantan di perantauan untuk terus bersama kerajaan negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Harapan itu disuarakan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud ketika hadir menyampaikan ucapan pada Majlis Mahabbah Muafakat NGO Anak-Anak Kelantan Di Perantauan yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Pandan, pada Ahad.
Beliau berkata, majlis itu disusun di bawah agenda mobilisasi muafakat NGO perantau di Kelantan.
"Majlis ini bertujuan menghimpunkan NGO-NGO anak Kelantan di perantauan termasuk PERAKAN Malaysia" katanya di laman rasmi, semalam.
Menurutnya, program berkenaan diurus setia oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) dengan kerjasama Mobilisasi Muafakat yang dikendalikan oleh Pegawai Khas di Pejabat Menteri Besar Wan Hassan Wan Ibrahim.
Dalam masa yang sama, YB Mohd Asri menzahirkan penghargaan kepada semua pengerusi dan wakil NGO yang hadir antaranya Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Anak Kelantan (PETAK), Kelab Penyokong Pahlawan Merah Malaysia, Ukhwatan Malaysia, Jalinan Ukhwah Anak-Anak Kelantan (JUAAK), Anak Kelantan Ampang (AKA) bersama selebriti Mustapha Kamal, Perantau Pasir Puteh serta Pengusaha Bas Anak Kelantan.
Beliau berkata, kebersamaan NGO perantau itu amat bermakna kerana mereka mewakili suara anak-anak Kelantan di luar negeri dan menjadi jambatan yang menghubungkan perantau dengan pentadbiran negeri.
Katanya lagi, selagi prinsip kesatuan dipelihara, usaha memartabatkan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat akan dapat digerakkan secara lebih tersusun.
“Dengan semangat ‘Set Kito Jange Pecoh’, harapnya akan menjadi pemangkin kesatuan dan kebersamaan anak-anak perantau bersama Kerajaan Negeri Kelantan. Kita pakat sayang Kelantan kita di bawah dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.





0 Comments