Oleh Salmah Mat Husain|
KOTA BHARU: Pembinaan
generasi baharu perlu diberi perhatian serius memandangkan mereka bakal
mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, keluarga miskin bukan alasan untuk anak mencapai kecemerlangan.
Katanya, kemiskinan keluarga tidak wajar dijadikan alasan untuk anak-anak tercicir dalam pelajaran, sebaliknya mereka perlu dibimbing dan diberi sokongan.
Kata beliau setiap pelajar berhak dan mampu mencapai kecemerlangan tanpa mengira darjat dan kedudukan keluarga.
“Walau apa pun latar belakang keluarga, anak-anak sebenarnya berpotensi jika diberi tumpuan serta bimbingan yang betul,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Back To School Dun Kijang baru-baru ini.
Seramai 430 pelajar menerima sumbangan pada majlis berkenaan melibatkan peruntukan RM51,000. Setiap pelajar menerima sumbangan tunai RM150. Program itu diadakan di Dataran Kijang.
Menurutnya, peranan ibu bapa amat penting bagi membentuk anak-anak yang pintar, berakhlak mulia dan berdaya saing melalui pendidikan sempurna.
Beliau yang juga Adun Kijang berkata, antara kebimbangan utama hubungan yang tidak rapat anak-anak dengan ibu bapa sehingga menyebabkan mereka berasa terasing dan memilih jalan yang salah.
“Apabila hubungan rapat segala pesanan, teguran dan peringatan akan lebih mudah diterima anak-anak,” katanya.
Kata beliau juga pendidikan melalui teladan amat penting termasuk amalan membaca al-Quran dan menunaikan solat perlu menjadi rutin setiap keluarga.
Tambah beliau juga anak-anak perlu diberi peluang belajar sehingga berjaya sehingga mampu membantu orang lain setelah bekerja nanti.
Dr Izani turut berharap ibu bapa menggunakan bantuan tersebut untuk membeli pakaian sekolah atau membayar yuran sekolah anak.
Kata beliau, jumlah penerima tahun ini paling besar pernah direkodkan berbanding tahun-tahun sebelum ini hanya melibatkan sekitar 200 penerima.
“Sumber bantuan diperoleh daripada kerajaan negeri, agensi kerajaan dan sumbangan penyumbang. Alhamdulillah ada penerima memaklumkan kali pertama menerima sumbangan sedemikian,” ujarnya.


0 Comments