Wakaf Bharu pusat aktiviti ekonomi Tumpat

 

Oleh Salmah Mat Husain |

TUMPAT: Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu dianggap sebagai pusat ekonomi di Tumpat memandangkan terdapat dua lokasi tumpuan aktiviti perniagaan iaitu Pasar Wakaf Bharu dan Pasar Cabang Empat.

Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, masyarakat di Dun Wakaf Bharu terdiri pelbagai bangsa ramai menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan termasuk di pasar-pasar.

Katanya Pusat Khidmat Dun (PKD) Wakaf Bharu menumpu projek keusahawanan sejak dahulu lagi, di mana sekarang ramai yang mampu menjana pendapatan tetap.

“Alhamdulillah, kita melihat hasil jualan mereka semakin maju, termasuk bengkel jahitan, perniagaan minuman, kafe, pengusaha roti dan kek serta pelbagai lagi.

“Usahawan terbabit dibantu bantuan modal oleh kerajaan negeri bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Back to School di perkarangan Pasar Wakaf Bharu di sini semalam.

Mohd Rusli juga berkata, sehingga kini 50 usahawan kecil menerima pelbagai bentuk sumbangan setiap tahun termasuk modal, barangan dan kemudahan infrastruktur keusahawanan seperti kios.

Menurutnya kerajaan negeri menyalurkan bantuan bagi menyokong usaha mereka melalui pelbagai inisiatif.

“Antara bantuan yang disediakan program Usahawan Anak Muda, Usahawan Tani, Usahawan Al-Falah serta bantuan kepada peniaga kecil,” ujarnya.

Beliau juga berkata, bantuan berbentuk infrastruktur diberi bermula tahun 2003 melalui peruntukan awal kerajaan negeri sebanyak RM20,000.

Sementara itu pada program berkenaan hampir 400 pelajar menerima bantuan peralatan sekolah yang melibatkan peruntukan hampir RM40,000.

Katanya, bantuan berupa baucer merangkumi pakaian sekolah untuk murid tahun satu, 150 baucar khas serta bantuan khas kepada 112 anak yatim dan 120 pelajar.

“Peruntukan itu termasuk sumbangan kerajaan negeri dan dana tambahan dari sumber lain bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya.


Post a Comment

0 Comments