Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan negeri berusaha memperkukuh keupayaan dan kompetensi aspek pentadbiran
melibatkan anggota Exco, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Adun dan pegawai-pegawai
tadbir.
Penganjuran Program Masterclass 9.0 memberi fokus kepada isu-isu tadbir urus semasa peringkat nasional, antarabangsa dan negeri.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program terbabit bagi memperkasakan tadbir urus, pengetahuan, kemahiran serta kefahaman terhadap perkembangan semasa.
Menurut beliau, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri yang bersifat berfokus, praktikal dan berimpak tinggi, selaras dengan keperluan semasa pentadbiran negeri.
“Objektif utama penganjuran program ini untuk meningkatkan kompetensi pentadbir baharu melalui percambahan ilmu, pemikiran, wacana serta perbincangan bersama tokoh berpengalaman dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Masterclass 9.0 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim semalam. Program terbabit dirasmikan Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Pembentangan kertas kerja bertajuk Tadbir Urus Dan Kepimpinan disampaikan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan @ Harun.
Dr Mohamed Fadzli berkata, program Masterclass 9.0 diharap dapat membantu membentuk keupayaan membuat keputusan yang lebih berkesan, di samping memperkukuh pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.
Katanya, penglibatan pelbagai lapisan kepimpinan penting bagi memastikan keseragaman kefahaman, kesinambungan dasar serta pematuhan kepada kerangka perundangan dan amalan tadbir urus yang baik.
Sesi Masterclass 9.0 turut memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan transformasi portal di Institut Pembangunan Latihan dan Pengurusan (IPLP).
Selain itu, isu-isu perbankan serta aspek persempadanan pilihan raya yang mempunyai implikasi penting terhadap tadbir urus dan pentadbiran negeri.



0 Comments