Rakyat Kelantan dipersila meriahkan Karnival Kubang Kerian Sejahtera


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 14 Januari - Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mempersilakan seluruh rakyat Kelantan khususnya warga Kubang Kerian hadir memeriahkan Karnival Kubang Kerian Sejahtera (KuKeS 2026) yang akan berlangsung pada 14 hingga 17 Januari 2026 bertempat di Mydin Mall, Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

“Ayuh seisi keluarga dan seluruh rakyat Kelantan khususnya Kubang Kerian, saya menjemput untuk hadir ke Karnival Kubang Kerian Sejahtera yang sarat dengan pengisian bermanfaat dan program menarik,” katanya menerusi laman rasmi, pada Isnin.

Beliau turut mengajak orang ramai memanfaatkan ruang yang ada sepanjang karnival berlangsung untuk menjalin hubungan sesama masyarakat.

“Manfaatkan ruang ini untuk bertemu dan mengeratkan ukhuwah sesama kita. Bawa keluarga serta sahabat handai hadir ke Karnival Kubang Kerian Sejahtera,” ujarnya.


Karnival selama empat hari itu antaranya menampilkan program berbentuk kerohanian seperti Kuliah Israk Mikraj bersama Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kuliah Maghrib bersama Ustaz Azil Yaacob serta Malam Cinta Gaza, selain sesi Santai Bersama PU Rahmat Ikhsan.

Turut diadakan acara kebudayaan dan hiburan terkawal termasuk persembahan Dikir Barat bersama Emie Sukmasari dan Amran DBA serta Malam Simfoni Dikir Barat 2026 yang dijangka menarik penyertaan masyarakat setempat.

Selain itu, pelbagai aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan turut disediakan seperti Hari Kanak-kanak Parlimen Kubang Kerian, himpunan motosikal berkuasa tinggi, Kukes Car Auto Show, Kejohanan Dam Aji, Plogging Run, program derma darah dan pameran kesihatan.

Post a Comment

0 Comments