Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Saizol
KOTA DARULNAIM, 15 Januari - Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila hampir 60 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini bagi membekalkan sehingga 45 juta liter sehari (JLH) air terawat kepada pengguna.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail berkata, pembinaan LRA Chicha 2 berjalan mengikut perancangan dan dijangka dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air.
“Dengan kapasiti pengeluaran 45 JLH, projek ini amat penting dalam meningkatkan sistem bekalan air di negeri ini serta dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih khususnya di kawasan Kota Bharu Selatan (KBS) dan Kota Bharu Timur (KBT) apabila siap kelak.,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Terdahulu YB Saizol mewakili Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin membuat lawatan ke tapak projek LRA Chicha 2 dan LRA Tanjung Mas bagi meninjau kemajuan semasa pelaksanaan pelaksanaan projek.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut meninjau kerja-kerja penukaran paip agihan di kawasan Kubur Tanjong yang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW) serta meningkatkan tekanan dan kualiti bekalan air kepada pengguna.
Lawatan berkenaan turut disertai Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Azamy Abdul Aziz serta Pengarah SPAN Kelantan Hazizul Sham Mohamed Husein. Turut hadir wakil Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Abdul Samad Sulaiman dan Ir. Shamsunazaruddin Shah Mohd Salleh.
Kata YB Saizol lagi, semua pihak terlibat telah berkongsi penjelasan terperinci mengenai status kemajuan projek, cabaran pelaksanaan di lapangan serta perancangan seterusnya bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
"Kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan diharap dapat memastikan projek-projek infrastruktur air ini disiapkan dengan jayanya dan seterusnya memberi impak positif terhadap kualiti serta kesinambungan bekalan air kepada rakyat Kelantan," jelasnya.




0 Comments