Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dianggap melaksanakan 'diplomasi pintu belakang' berkaitan rundingan
sempadan Sabah-Kalimantan tanpa memberi makluman jelas kepada Parlimen.
Ahli Parlimen PN Pendang Datuk Awang Hashim berkata, perjanjian yang ditandatangani pada awal tahun lalu menyebabkan negara dilapor kehilangan seluas 5,207 hektar tanah kepada negara jiran, Indonesia.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyangkal laporan tersebut dengan menyebut Malaysia masih dalam rundingan dengan Indonesia.
"Bila perjanjian dibuat, bila dibawa ke kabinet, parlimen dan Majlis Raja-raja, Yang Dipertuan Agong lulus atau tidak," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya wujud dakwaan di media sosial dan media Indonesia bahawa Malaysia memberi 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan kerana republik itu melepaskan kedaulatan tiga kampung kepada Malaysia.
Kampung tersebut iaitu Kabulangalor, Lepaga dan Tetagas, namun kerajaan menafikan dengan menyebut tiada istilah pampasan dalam rundingan tersebut dan tidak berpandukan kepada prinsip untung-rugi.
"Saya nak tanya pampasan tanah dan pada masa yang sama menyebut Malaysia akan berunding secara baik mengenai isu pampasan tanah tersebut dalam masa terdekat seperti kenyatan Menteri Luar Datuk Seri Muhammad Hassan.
"Menteri menyebut isu sempadan masih dalam rundingan, itu yang kita nak bangkitkan, spekulasi seperti ini menyebabkan rakyat keliru, isu paling asas kedaulatan wilayah, " katanya.
Sebelum ini media Indonesia melaporkan, Malaysia menyerah 5,207 hektar tanah kepada republik itu sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan.
Setiausaha Badan Nasional Pengurusan Sempadan (BNPP) Indonesia, Makhruzi Rahman berkata, perkara itu berlaku susulan peralihan garis sempadan antara kedua-dua negara, susulan perjanjian penyelesaian sempadan.
Media Indonesia melaporkan, dalam memorandum yang ditandatangani pada 18 Februari 2025, kira-kira 127 hektar wilayah Pulau Sebatik menjadi milik Indonesia, manakala Malaysia memperoleh 4.9 hektar wilayah.
Bagaimanapun semalam perdana menteri dilapor menyangkal laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Menurutnya Malaysia akan berunding secara baik mengenai isu pampasan tanah tersebut dalam masa terdekat.
Awang juga berkata, isu ketidakseimbangan antara pendapatan isi rumah dan perbelanjaan harian di Malaysia bagi tahun 2026 merupakan cabaran ekonomi yang kritikal, terutamanya bagi golongan B40 dan sebahagian M40.
Menurutnya tahun ini walaupun ekonomi negara diunjur berkembang sekitar 4.5 peratus, realitinya masih ramai rakyat Malaysia masih berdepan dengan tekanan kewangan yang hebat.
Katanya, kadar peningkatan kos sara hidup dilihat bergerak lebih pantas berbanding pertumbuhan pendapatan, meskipun purata pendapatan isi rumah meningkat.
Kata beliau apa ukuran sebenar kerajaan bagi menilai tekanan kos sara hidup dan pendapatan isi rumah mengikut realiti setempat seperti bandar, pinggir dan juga luar bandar.
Beliau berkata, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai angka purata nasional bagi pendapatan dan perbelanjaan isi rumah di negara ini juga tidak menggambarkan realiti sebenar penduduk.


0 Comments