Rakyat Kelantan solidariti pertahan kiblat pertama

 

KOTA BHARU: Apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang umat Islam di negara ini tidak boleh mengabaikannya kerana adalah tanggungjawab ummah.

Menteri Besar Kelantan Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, umat Islam perlu mempertahankan kiblat pertama, Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin.

“Rasulullah SAW menyebut bahawa satu solat di Baitul Maqdis menyamai 500 kali ganda solat, sama ada solat fardu mahupun sunat.

“Justeru, marilah kita terus merapatkan saf dan bersatu hati dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara-saudara kita di Palestin,” katanya pada program Minggu Al-Quds Sedunia 2026 peringkat Negeri Kelantan di Dataran Medan Ilmu malam tadi.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Yaakob, Ketua Pemuda PAS negeri Mohamad Firdaus Nawi, pimpinan PAS dan NGO.

Program tersebut bermula dengan konvoi motosikal pada sebelah petang, diikuti solat Maghrib kemudian kuliah Maghrib dan berakhir pidato solidariti Palestin.

Menteri Besar juga berkata, program itu menyatukan suara rakyat Kelantan dalam usaha menentang kezaliman yang berlaku di Gaza.

Kata beliau juga Kelantan akan terus berdiri teguh dalam menyatakan solidariti serta membela nasib saudara-saudara Islam di Palestin.

“Umat Islam di Kelantan dan di mana sahaja hendaklah terus memberi sumbangan sama ada melalui tenaga, harta atau doa yang berterusan agar Allah SWT mengurniakan perlindungan dan kemenangan kepada umat Islam. Insya-Allah, Palestin pasti merdeka,” ujarnya.

 

Post a Comment

0 Comments