Kerajaan perlu noktah isu UEC elak polemik

 

Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tegas bagi memperkasakan sistem pendidikan negara dengan berpaksikan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).

Namun, malangnya dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerajaan dianggap begitu berlembut, walaupun bercanggah dengan falsafah, kurikulum, dan undang-undang pendidikan di Malaysia.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, isu itu turut disentuh Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar dalam Titah Diraja sempena pembukaan Parlimen 19 Januari lalu.

Katanya, pelaksanaan UEC secara jelas wujud pergeseran dengan DPK, namun kerajaan lebih banyak bertolak ansur dalam isu tersebut.

"UEC enggan mengikuti aliran pendidikan kebangsaan tetapi tanpa segan silu meminta supaya kerajaan mengiktiraf," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Malah Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong turut menyifatkan UEC tidak wajar diiktiraf kerana bercanggah dengan DPK.

Oleh itu Che Zulkifly meminta kerajaan menilai pandangan tokoh akademik sebagai individu pakar dalam bidang berkenaan.

“Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas untuk menoktahkan isu itu sekaligus tidak menjadi polemik politik yang berisiko situasi tidak sihat.

"Saya nak tahu pendirian kerajaan. Kalau kerajaan tunduk dengan mengiktiraf, bermakna kita membenarkan kewujudan dua sistem (dualisme) pendidikan, bagaimana ia dapat berfungsi sebagai medium pembinaan bangsa," katanya.

Post a Comment

0 Comments