Rakyat menunggu siasatan kes rasuah profil tinggi

 
Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Rakyat masih menanti kesungguhan kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan status siasatan kes rasuah berprofil tinggi yang menjadi sebutan ramai sebelum ini.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, kes tersebut antaranya melibatkan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador.

Kata beliau berdasar laporan media sebanyak 462,000,000 unit dalam MMAG Holdings Berhad, dahulu dikenali sebagai MMegi Holding Berhad telah dilupuskan dengan harga RM87.3 juta.

"Pada pandangan rakyat transaksi sebesar itu menimbulkan banyak tanda tanya dari mana dapat duit begitu banyak.. ni sakau ke?

"Dia rugi jual saham tapi rugi berpuluh juta, namun masih boleh bersenang-lenang, ini persepsi rakyat sekarang, tanya mana dapat duit," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar menzahirkan komitmen tegas dalam membanteras rasuah.

Che Zulkifly turut menyentuh kes dihadapi almarhum Tun Daim Zainuddin, biarpun sudah meninggal dunia, namun siasatan tersebut tetap diteruskan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Kedua-dua kes terbabit menjadi tumpuan kerana melibatkan tokoh yang rapat dengan pimpinan tertinggi negara, namun berakhir dengan tindakan undang-undang yang berbeza antara satu sama lain.

"Rakyat menantikan kes Farhash, tambahan pula apabila kerajaan madani mendabik dada dengan retorik hapus rasuah dalam banyak ucapan pemimpin sebelum ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments