KuKeS angkat citra Kelantan, perkukuh perpaduan masyarakat – Dato' Tuan Ibrahim


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 18 Januari - Karnival Kubang Kerian Sejahtera (KuKeS) yang berlangsung selama empat hari di Mydin Mall Tunjong dari 14 hingga 17 Januari lalu berjaya menjadi platform yang mengetengahkan citra negeri Kelantan serta memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pelbagai pengisian bermanfaat kepada semua lapisan rakyat.

Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penganjuran KuKeS memberi ruang kepada aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan dengan menggabungkan elemen agama, tradisi, budaya dan seni.



"Penganjuran Karnival KuKeS mengangkat citra negeri Kelantan melalui pelbagai pengisian agama, tradisi, budaya dan seni, di samping penerangan berkaitan keselamatan dan kesihatan serta aktiviti kemasyarakatan yang memperkukuh ikatan silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat" katanya di laman rasmi, hari ini.

Menurutnya, karnival tersebut turut diisi dengan program penerangan berkaitan keselamatan dan kesihatan, selain pelbagai aktiviti komuniti yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat setempat.


Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan, agensi-agensi terlibat, pihak pengurusan Mydin Mall Tunjong, seluruh petugas serta ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan penganjuran karnival berjalan dengan lancar dan teratur.

“Segala kekurangan yang ada akan dijadikan panduan untuk penambahbaikan pada masa akan datang demi penganjuran yang lebih baik. Terima kasih dan semoga Allah memberkati,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments