Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan nama Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menyerang PAS sebagai langkah terdesak bagi membodek rakan komponen kerajaan khususnya DAP.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata penggunaan hujah tanpa memahami konteks sebenar pemikiran Allahyarham Tuan Guru adalah naratif kurang bijak.
Beliau berkata, Zahid terkhilaf apabila mentafsir ungkapan seorang negarawan Islam itu secara sempit, sedangkan Islam yang diperjuangkan Allahyarham Tuan Guru meliputi keseluruhan cara hidup manusia.
“Islam yang disebut oleh Allahyarham Tuan Guru bukan sekadar ibadah ritual, tetapi merangkumi pentadbiran negara, undang-undang, ekonomi dan sosial masyarakat,” katanya pada kenyataan semalam.
Baru-baru ini Zahid dilapor menyebut PAS akan terbubar dengan sendiri memandangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mencadangkan Umno dan PAS dibubar dengan menubuh parti baru berteraskan Islam.
Firdaus juga berkata, sekiranya Umno berminat melaksanakan Islam, di manakah pendirian parti itu ketika Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibatalkan oleh seorang individu.
Di manakah Umno ketika usaha Kerajaan Kedah untuk menghentikan lesen judi diputuskan tidak sah oleh mahkamah.
“Berhujahlah menggunakan pandangan tokoh yang masih hidup atau hujah baharu. Jika hanya mahu mengambil ungkapan lama, anak-anak muda tidak akan lupa penafian kerjasama Zahid-Anwar sebelum PRU15, walaupun kedua-duanya masih hidup,” ujarnya.

0 Comments