Dua pemimpin Serambi Mekah bertemu demi kemanusiaan sejagat


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 18 Januari - Pertemuan pemimpin dua wilayah yang dikenali sebagai Serambi Mekah di Nusantara - Kelantan dan Aceh, mengangkat hubungan sejarah dan persaudaraan serantau, sekali gus menyerlahkan solidariti kemanusiaan sejagat menerusi kunjungan mahabbah delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke Aceh, Indonesia pada 15 hingga 19 Januari.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, ketibaan beliau di Aceh telah disambut oleh wakil Gabenor Acheh Drs. Muhammad Diwarsyah.

Menurutnya, hubungan Aceh dan Kelantan telah terjalin sejak sekian lama melalui jalur perdagangan Selat Melaka serta peranan penting dalam penyebaran Islam di rantau nusantara, yang membentuk asas kekuatan peradaban dan kebudayaan umat Melayu-Islam sehingga ke hari ini.


“Aceh pernah muncul sebagai kuasa maritim utama di Sumatera selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, selain menjadi pusat perdagangan dan penyebaran Islam dengan sokongan Turki Uthmaniah,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, semalam.

Tambahnya, Kelantan di Semenanjung Tanah Melayu pula berkembang di bawah pengaruh Pattani dan kemudiannya Siam, sebelum akhirnya jatuh ke tangan British melalui Perjanjian Anglo-Siam 1909, dengan kedua-dua wilayah ini berkongsi pengalaman sejarah berhadapan campur tangan kuasa luar.

Menurutnya lagi, kunjungan mahabbah tersebut turut membawa mesej solidariti dan kebersamaan pasca bencana banjir besar yang melanda Aceh serta dua lagi wilayah di Sumatera iaitu Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada akhir November tahun lalu.


“Bencana tersebut telah mengorbankan sebanyak 1,178 nyawa dan memaksa lebih 238,500 orang dipindahkan. Kunjungan ini adalah tanda keprihatinan dan sokongan rakyat Kelantan terhadap saudara se-Nusantara yang sedang diuji musibah,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, Menteri Besar Kelantan turut diiringi Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan YB Abd Rahman Yunus serta delegasi Kerajaan Negeri Kelantan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta mempererat jaringan kerjasama kemanusiaan dan kebajikan serantau.



Post a Comment

0 Comments