Oleh Salmah Mat
Husain |
KOTA BHARU: Mangsa
kebakaran di Jalan Tok Guru dekat sini terus mendapat perhatian kerajaan negeri
apabila hari ini turut diziarahi Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd
Nassuruddin Daud.
Sebelum itu mangsa kebakaran dikunjungi anggota Exco kerajaan negeri Datuk Rohani Ibrahim dan Penyelia Dun Kota Lama Ir Nor Shakiman Muhammad.
Menteri Besar berkata, Pusat Khidmat Dun Kota Lama akan menguruskan bantuan lanjut, termasuk meneliti kemungkinan membina rumah dhuafat kepada mangsa kebakaran terbabit.
“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan memastikan bantuan kebajikan yang sewajarnya disalurkan kepada mangsa yang terlibat bagi meringankan beban mereka.
“Saya merakam penghargaan kepada pasukan penyelamat serta penduduk yang bertungkus-lumus membantu mangsa. Ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat,” katanya selepas menziarahi mangsa kebakaran.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal; Rohani; Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Kelantan (Purnama) Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob serta Timbalan Pengerusi Purnama, Datin Bahrulnurarifah Baharuddin.
Pada kejadian tersebut seorang warga emas, Fatimah Mat Said, 89 meninggal dunia selepas rumahnya musnah sepenuhnya. Kebakaran pada petang Ahad itu turut melibatkan rumah milik Norhaeda Azhar, 51.
Turut musnah sebuah motokar dan motosikal milik mangsa terbabit.
Menteri Besar juga berkata, berdasarkan maklumat yang diterima kebakaran tersebut melibatkan dua rumah, di mana sebuah daripadanya musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap kebajikan haiwan terbiar yang dipelihara anak angkat kepada mangsa kebakaran tersebut.
“Keprihatinan terhadap haiwan adalah satu amalan mulia dalam Islam. Mudah-mudahan kasih sayang yang ditunjukkan itu menjadi ganjaran besar daripada Allah SWT,” katanya.



0 Comments