
SEREMBAN: Bekas ketua
pengarang sebuah syarikat media Wan Nordin Wan Yaacob kini muncul sebagai seorang
usahawan yang berjaya.
Malah, ketika masih bekerja dengan syarikat media terbabit beliau mengusahakan tempahan makanan bagi kenduri pada hujung minggu.
Selepas meninggalkan dunia kewartawanan lebih tiga tahun lalu, Wan Nordin menumpu sepenuh perhatian dalam bidang penyediaan makanan termasuk di beberapa sekolah berasrama di Negeri Sembilan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Abah terkenal dengan masalah ala-Arab iaitu nasi Maqlubah Ayam dan Nasi Bukhari Ayam.
Dan sempena Ramadan sekarang Wayna Foods mengambil inisiatif sebagai orang tengah menyediakan makanan untuk asnaf dan pelajar dalam kategori asnaf di beberapa sekolah di sekitar Port Dickson.
Selain itu kata Wan Nordin pihaknya juga menyumbang makanan untuk rumah-rumah anak yatim.
Pakej masakan sebungkus nasi Maqlubah Ayam atau Nasi Baryani Ayam, Nasi Bukhari Ayam berharga RM10 ringgit untuk setiap pek.
“Dalam kita berpesta ibadah dan pesta juadah di bazar Ramadan, ada insan yang tidak mampu menikmati hidangan berbuka puasa mahupun bersahur.
“Justeru kami amat mengalu-alukan infaq dan sumbangan orang ramai dalam menjayakan program Sebungkus Nasi Sejuta Kesyukuran bagi Ramadan kali ini,” katanya di sini.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Puan Nurul Fara Umaira di talian - 013-598 6155 dan menyumbang melalui akaun Maybank (155042122221) atas nama Nurul Fara Umaira Abdul Latib.
Wan Nordin juga berkata, pihaknya akan menyediakan laporan bergambar setiap kali sumbangan makanan diberi di sekolah dan di rumah asnaf serta masjid yang terlibat.


0 Comments