Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berunding dengan pemilik bangunan Parkson
bagi mendapatkan hak penggunaan ruang letak kereta bawah tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, kaedah itu sebagai tukar ganti bayaran cukai pintu yang sepatutnya dijelaskan pemilik bangunan terbabit.
Katanya, walaupun bangunan tersebut tidak beroperasi sejak beberapa tahun lalu, namun tanggungjawab pembayaran cukai pintu masih tertakluk kepada pemilik.
“Perbincangan diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan menggunakan kawasan bawah bangunan itu sebagai parkir berbayar khususnya untuk kemudahan pengunjung Pasar Besar Siti Khadijah.
“Langkah itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar pasar yang sering berlaku akibat kekurangan petak letak kenderaan,” katanya di sini.
Pada awal tahun lepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah pihak berkuasa tempatan disaran meneliti isu bangunan terbiar di negeri itu.
Titah baginda kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan bagi mencipta peluang ekonomi di bandar bagi meningkatkan pembangunan setempat.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim.
Bangunan Kota Bharu Trade Centre (KBTC) sebelum ini pernah menempatkan pasar raya Parkson dan Giant. Dibina membabitkan kos RM90 juta, siap pada tahun 2008.
Hilmi juga berkata, perundingan dengan pihak berkenaan masih berlangsung.
Menurutnya juga MPKB-BRI tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas bangunan yang terbiar kerana premis tersebut mempunyai pemilik.
Kata beliau pemilik premis terbabit sebelum ini mempunyai perancangan perniagaan tersendiri, namun tidak berjaya direalisasikan sehingga bangunan tidak beroperasi.
“Sebahagian besar keadaan itu berlaku berpunca daripada penutupan perniagaan ketika pandemik Covid-19.
“Selain itu perubahan corak perniagaan turut menyumbang kepada keadaan itu apabila peniaga kini lebih memilih memasarkan barangan secara dalam talian,” ujarnya.




0 Comments