IPOH: Doktrinisasi
pemikiran ultra kiasu dan cauvinis yang dibawa DAP berpotensi menjadi ancaman
serius terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, tindakan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng mempertahankan wartawan kontroversi Rex Tan tidak mengejutkan kerana ia selari dengan pembingkaian naratif yang dibentuk parti itu.
Menurutnya, sebahagian persoalan yang dibangkitkan wartawan berkenaan mencerminkan doktrinisasi pemikiran sempit yang disusun secara sistematik dan berbahaya kepada perpaduan masyarakat.
“Kebebasan media bukan lesen untuk menyemai prasangka, merendah-rendahkan sensitiviti agama dan kaum, atau membina naratif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk,” katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini wartawan sebuah portal, Rex Tan bertanya soalan polisi apartheid Israel yang cuba disamakan dengan cara orang Melayu melayan kaum Cina di Malaysia.
Isu tersebut dibangkit pada program ceramah awam ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu yang menampilkan ahli politik veteran British, George Galloway.
Mohd Hafez berkata, dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama, sebarang naratif yang berpotensi menyalakan api perpecahan wajib ditangani secara tegas sebelum ia merebak dan dinormalisasikan dalam kalangan rakyat.
Kata beliau penahanan wartawan tersebut bukan bertujuan membungkam tugas pengamal media, sebaliknya memastikan kewartawanan tidak diseleweng menjadi alat menyebarkan fahaman sempit.
“Persoalan yang dikemukakan itu bukan perkara kecil dan rakyat Malaysia tidak terlalu naif untuk membaca maksud tersirat di sebaliknya,” katanya.
Tambah beliau, asas persoalan berkenaan bukan soal keterbukaan atau kebebasan media, sebaliknya berpunca gagasan pemikiran ultra kiasu dan cauvinis yang telah lama bertapak.
Menurutnya situasi tersebut boleh disifatkan sebagai satu bentuk hasutan dan perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab demi kestabilan negara.

0 Comments