Oleh Salmah Mat Husain |
Beliau juga membina asas pendidikan jamaah pada pertengahan 1980-an sehingga lahir Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang kini menjadi antara produk pendidikan prasekolah popular di negara ini.
Beliau turut terlibat secara langsung penubuhan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 bersama pimpinan PAS Terengganu.
Almarhum dikenang sebagai antara sarjana dan pendakwah yang berperanan memperkenal serta mengukuhkan kefahaman politik dan pemerintahan Islam pada era kebangkitan Islam awal dekad 1980-an.
Pada 25 Januari, genaplah 12 tahun pemergian tokoh murabbi dan pemimpin gerakan Islam tersebut.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor, perjalanan hidup almarhum sinonim dengan dunia ilmu dan buku sehingga pernah diamanahkan memimpin Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.
Katanya, keberanian dan wawasan almarhum turut terserlah apabila membuka laluan kepada pelajar Maahad Darul Quran Rusila melanjutkan pengajian ke Lampeter dan Markfield di United Kingdom.
“Beliau merupakan anak didik Ikhwanul Muslimin sejak di bumi Nabawi dan melanjutkan kesarjanaan di Universiti al-Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,” katanya pada kenyataan.
Dalam bidang siasah, almarhum mulai menyerlah apabila memenangi pilihan raya kecil (PRK) Teluk Pasu pada 1989, sebelum memenangi kerusi Dun Manir dalam pilihan raya umum 1990.
Beliau turut dikenali sebagai penulis dan pemikir haraki dengan karya termasuk Muslimat Pembangun Ummah dan Berbilang-bilang Jemaah, selain puluhan kertas kerja.
Kemuncak sumbangan almarhum terserlah apabila dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada 1999 hingga 2004, memegang portfolio Pendidikan dan Pembangunan Dakwah.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai institusi pendidikan dan dakwah berjaya diwujudkan termasuk SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA serta penubuhan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh bagi merancakkan dakwah di Terengganu.
“Almarhum merupakan murabbi yang bukan sahaja mendidik masyarakat, tetapi membentuk keluarganya sendiri untuk bersama-sama berjuang di medan amal Islami,” ujar Dr Riduan.
Insan yang berjasa seperti Ustaz Harun akan terus hidup dalam ingatan umat sebagai obor perjuangan yang menyinari jalan dakwah, tarbiah dan siasah Islamiah.




0 Comments