KOTA BHARU: Sekolah Menengah Arab Ugama (SMU) (Arab) Sullamiah dekat sini pernah dinobatkan sebagai sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) paling bersih di peringkat negeri.
Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berharap sekolah terbabit akan terus melangkah ke hadapan dan muncul sebagai antara sekolah terbaik di negeri ini.
Katanya, peningkatan pencapaian sekolah secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak belajar agama memandangkan kedudukannya di pinggir bandar.
“Kami dimaklumkan seramai 66 pelajar baru mendaftar bagi kemasukan ke tingkatan satu tahun ini, di mana sesi persekolahan akan bermula Ahad ini.
“Ini suatu perkembangan menarik kerana Sekolah Arab Sullamiah kurang dikenali ramai sebelum ini biarpun ia dibangunkan di tapak Pondok Bunut Payong,” katanya pada Majlis Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu hari ini.
Hadir sama mudir sekolah terbabit, pihak pengurusan, ibu bapa dan pelajar.
SMU (Arab) Sullamiah mencatat kecemerlangan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 apabila berjaya meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS).
Selain itu seorang pelajar Norsofiah Zulfa Mohd Sairul Husna menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan Sijil Menengah Ugama.
Shaari juga berkata, Pusat Khidmat Dun (PKD) Bunut Payong sentiasa membantu pembangunan pendidikan sekolah terbabit termasuk menganjur kelas tuisyen percuma selama dua bulan untuk calon SPM.
“Keprihatinan terhadap masa depan pelajar menjadi keutamaan kami. Adalah diharap pihak pengurusan sekolah sentiasa memberi perhatian kepada pelajar supaya mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan,” ujarnya.
Menurut beliau juga sekolah berkenaan sebelum ini berdepan dengan pelbagai cabaran, namun pengurusan sekolah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.



0 Comments