Elak makan mi segera ketika bersahur

 

Oleh Salmah Mat Husain |

HARI ini merupakan hari keempat umat Islam menjalani ibadat puasa. Biarpun amalan berpuasa sudah lama dilaksanakan setiap kali Ramadan, namun sebahagian umat Islam sering berlebihan ketika berbuka puasa.

Sedangkan kedatangan Ramadan umat Islam boleh mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkongsi petua, yang boleh menjadi amalan setiap orang Islam.

Beliau menggesa orang ramai tidak mengambil makanan secara, sebaliknya memulakan dengan dua hingga tiga biji kurma bersama air kosong.

Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk umat Islam memperbaiki corak pemakanan. Ramadan seharusnya dijadikan platform untuk membentuk tabiat pemakanan lebih seimbang dan sihat.

Ketika bersahur disaran pengambilan karbohidrat kompleks seperti oat, nasi perang dan roti bijirin penuh kerana ia mengambil masa lebih lama untuk dihadam serta membantu mengekalkan tenaga.

Dr Suhazeli juga menekankan kepentingan sumber protein seperti telur, ayam, ikan, tempe dan kekacang bagi memastikan rasa kenyang lebih lama serta membantu mengekalkan jisim otot.

“Orang ramai perlu mengelakkan makanan seperti mi segera dan makanan yang terlalu manis ketika sahur kerana ia tergolong dalam karbohidrat ringkas yang memberi tenaga singkat dan cepat menyebabkan rasa lapar.

“Makanan manis pula boleh menyebabkan paras gula darah naik secara mendadak sebelum turun secara drastik, seterusnya membuatkan tubuh berasa lesu,” katanya pada perkongsian di media sosial.

Beliau turut menasihatkan supaya tidak minum air dalam kuantiti yang banyak sebelum Subuh kerana ia hanya akan meningkatkan kekerapan ke tandas.

Sebaliknya, air perlu diambil secara berperingkat dari waktu berbuka sehingga sahur, termasuk mengamalkan kaedah dua cawan setiap jam untuk memastikan tubuh kekal terhidrat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai berhati-hati dengan pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh yang bersifat diuretik serta makanan masin yang boleh meningkatkan rasa dahaga.

Dr Suhazeli menegaskan individu yang tidak bersahur berisiko mengalami penurunan paras gula dalam darah dengan cepat, sekali gus menyebabkan simptom seperti pening, keletihan dan sukar menumpukan perhatian.

Menurut beliau, waktu paling sesuai untuk bersahur adalah kira-kira 30 minit sebelum waktu imsak.

Beliau tuut mencadangkan pengambilan pisang untuk mengekalkan paras potasium, kurma sebagai sumber tenaga segera yang kaya serat, serta yogurt bagi membantu sistem pencernaan dan mengurangkan rasa dahaga.

Post a Comment

0 Comments