Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Pengguna
di negara ini berdepan dengan lambakan gula import dari luar negara yang
mungkin diragui status halal kerana tidak melalui proses pemantauan ketat.
Ahli Parlimen PN Kepala Batas, Dr Siti Mastura Mohamad berkata, isu penggunaan gula dan status halal menjadi titik kritikal dalam rantaian bekalan bahan tersebut di pasaran.
Katanya, pengusaha kecil dan sederhana serta francais berisiko menggunakan gula import tanpa mengambil kira status halal demi mengurangkan kos termasuk cukai gula.
"’Sugar attack' khususnya francais ada di seluruh negara terutamanya di kawasan bandar. Penggunaan gula import perlu mengambil kira halalan toyiban," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Senator Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat di sini semalam.
Sementara itu Dr Zulkifli menjelaskan Sijil Halal Malaysia yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai paiwaian sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, apabila francais atau industri kecil dan sederhana berjaya memperolehi Sijil Halal, ia mampu mengubah keseluruhan nilai jenama serta kepercayaan pengguna.
"Namun apa yang menjadi masalah sekarang gaya hidup dan corak pemakanan rakyat Malaysia. Oleh itu Jakim dan Kementerian Kesihatan mengambil beberapa langkah dan pendekatan untuk memupuk gaya pemakanan sihat.
"Ini perlu dilakukan kerana bukan hanya kita melariskan produk tetapi kita ingin memupuk kesedaran budaya hidup sihat melalui teks khutbah Jumaat," katanya.

0 Comments