Oleh Tuan Arjuna Beta | Foto Unit Komunikasi Korporat PKINK
KUALA KRAI – Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB) memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani 2025 di Kelantan menerusi pelaksanaan melibatkan 12 kawasan Parlimen terpilih.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu dilaksanakan dengan kerjasama KIGSB sebagai rakan pelaksana di negeri ini. Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh pembudayaan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Sebagai syarikat di bawah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), KIGSB komited memperluas akses dan pendedahan terhadap bidang STI secara lebih tersusun serta berimpak tinggi, selaras usaha meningkatkan daya saing generasi muda.
Menurut kenyataan KIGSB, pihaknya memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang sistematik dengan memperluas inisiatif kesedaran, memperkukuh kerjasama bersama agensi Persekutuan serta menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam aktiviti sains dan teknologi.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa agenda memperkasa budaya sains, teknologi dan inovasi akan terus dipergiat bagi memastikan pelajar di Kelantan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital dan ekonomi berasaskan teknologi.
Karnival STI Madani Kuala Krai yang berlangsung di MRSM Kuala Krai semalam dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud. Program tersebut menghimpunkan kira-kira 3,000 pelajar dari seluruh negeri.
KIGSB turut menyambut baik penyediaan peruntukan dan peluang tajaan MOSTI yang membolehkan pelaksanaan program STI diperluas secara lebih menyeluruh di sekolah-sekolah seluruh Kelantan.
Inisiatif ini diharap mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang berminat dalam bidang STEM dan inovasi, seterusnya menjadi pemangkin pembangunan bakat digital serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri berteraskan teknologi.



0 Comments