Pengarang UPKN menang anugerah sastera DBP

 

KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakam ucapan tahniah kepada Pengarang Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Norzana Razaly kerana memenangi Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Norzana yang lebih dikenali sebagai Zanazanzaly meraih wang tunai RM10,000 pada sayembara tersebut yang dilancarkan pada 23 Julai 2024 dan berakhir 31 Mac 2025.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kemenangan di tempat ketiga dianggap signifikan sebagai satu pengiktirafan terhadap bakat penulisan anak Kelantan.

Katanya, semoga kejayaan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai penjawat awam untuk terus berkarya dan menyumbang kepada dunia ilmu serta persuratan negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada beliau atas kejayaan tersebut yang turut dianggap sebagai sebuah inovasi ciptaan anak Kelantan dalam landskap kompetensi penjawat awam negeri.

“Daripada 10,845 orang penjawat awam Kelantan, pengarang UPKN berjaya mencipta sejarah baharu dengan pencapaian yang membanggakan dalam bidang kesusasteraan kreatif,” katanya di sini.

Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka 2025 bagi kategori novel menyaksikan tiada pemenang tempat pertama dan kedua.

Norzana menampilkan novel bertajuk Emas Serial Berat pada Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 dan berjaya mengatasi persaingan 109 manuskrip lain bagi kategori novel.

Bagaimanapun, DBP memutuskan tiada pemenang johan dan naib johan bagi kategori berkenaan kerana tiada karya yang memenuhi tahap kecemerlangan ditetapkan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.

Sementara itu, Ketua Panel Penilai yang juga Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata, karya yang dihasilkan menerusi sayembara berkenaan perlu menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan.

Katanya ia selari dengan konsep kesejahteraan dan kenegaraan Malaysia.


 

Post a Comment

0 Comments