Hotel sedia dewan tampung rakyat Kelantan iftar

Oleh Salmah Mat Husain

Foto Asri Hazim |

KOTA BHARU: Ibis  Style Kota Bharu membuka Dewan Banquet bersebelahan hotel berkenaan bagi memberi peluang lebih ramai  rakyat Kelantan berbuka puasa (iftar) di hotel. Dewan itu mampu menampung sehingga 500 orang pada satu-satu masa.

Pengurus Besarnya, Zac Harun berkata,  fasiliti tersebut dijangka dapat digunakan sepenuhnya bermula awal Ramadan ini bagi menampung permintaan pelanggan.

Katanya berdasarkan pengalaman dua tahun lalu, pihaknya hanya beroperasi di khemah bagi menampung permintaan orang ramai datang berbuka puasa.

"Namun permintaan terus meningkat memandangkan kami menawarkan harga yang berpatutan," katanya kepada media sempena review buffet Ramadan baru-baru ini.

Menurutnya juga penambahan dewan untuk berbuka puasa serta lain-lain event dibuat dengan mengambil kira kuasa beli yang tinggi rakyat Kelantan.

Zac turut menjangka berlaku peningkatan kadar penginapan menjelang penghujung Ramadan dan sambutan Aidilfitri, selari dengan trend pergerakan pulang anak Kelantan di perantauan ke kampung serta kehadiran pelancong.

Menurutnya juga pada peringkat awal Ramadan sambutan pengunjung di hotel rendah berbanding pada hari biasa, namun minggu terakhir Ramadan tempahan meningkat.

“Bukan hanya ditempah oleh anak Kelantan yang ingin pulang beraya semata-mata, sebaliknya pelancong yang menghabiskan  Ramadan serta berhari raya di negeri kita,” ujarnya.

Beliau juga berkata pihaknya menawarkan harga bilik mampu milik bagi menarik pelanggan sepanjang Ramadan, termasuk pakej bilik dan sahur pada harga RM150, manakala pakej bilik bersama sahur dan iftar ditawarkan pada harga RM199.

Menurutnya juga menu yang diperkenalkan tahun ini berkonsep Kuali Ramadan yang menampilkan gabungan menu tradisional dengan sentuhan moden bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Konsep ini mengekalkan identiti masakan tradisional yang menjadi pilihan ramai, namun diperkaya dengan menu unik dan variasi hidangan baharu untuk memenuhi selera pelbagai lapisan pelanggan," ujarnya.

Antara menu istimewa yang disediakan sup gear box, masakan lemak, paru berlado dan menu baharu Royal Nasi Berani diperkenalkan tahun ini.

 Selain itu nasi berlapisan dengan ayam, daging kambing dan keju sebagai hidangan premium.Turut disediakan lebih 10 jenis minuman.


Post a Comment

0 Comments