
BANDAR GAZA: Runtuhan
masjid yang berselerak dengan batu bata, kayu dan besi tetap menjadi tempat
penduduk menunaikan solat Tarawih sempena Ramadan sekarang.
Antaranya Masjid al-Hassaina yang hancur, namun ia tidak menghalang penduduk berkumpul di atas timbunan keruntuhan.
Di celah runtuhan tersebut penduduk yang masih tinggal tetap datang bagi menunaikan solat di atas hamparan terpal dan kayu.
Halaman masjid sebelum perang digunakan sebagai tempat penduduk berkumpul, sekarang menjadi tempat mereka bersama keluarga tidur dan memasak di celah-celah runtuhan bangunan.
Kota Gaza merupakan kota paling padat di Palestin sebelum perang, kini begitu daif seperti dilaporkan media antarabangsa.
Sehingga sekarang lebih 72,000 penduduk Palestin menjadi mangsa keganasan zionis Israel. Penduduk terpaksa menjalani ibadat puasa dalam keadaan daif, tanpa sebarang kemudahan akibat perang sejak 7 Oktober 2023.
Berdasar laporan media antarabangsa, zionis Israel menghancurkan 835 masjid dan merosak sebahagian daripada 180 masjid lain di Palestin.
Sementara itu di Kota Bharu, Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia mempelawa rakyat Malaysia menunaikan bayaran zakat pendapatan bersama NGO terbabit untuk disumbang kepada penduduk di Palestin.
“Zakat anda menjadi penyelamat buat mereka yang benar-benar memerlukan. Di tengah krisis yang berlarutan, ramai keluarga di Gaza tidak mendapatkan makanan, rawatan dan perlindungan.
“Semoga Allah memberkati setiap rezeki yang dizakatkan. Jadilah anda orang terawal yang memberi makan mereka pada Ramadan ini,” katanya pada kenyataan di laman sosial.
Menurutnya juga melalui Projek Ihya’ Ramadan di Palestin di bawah Kempen Uncang Ramadan Palestin, setiap sumbangan yang diberi sebagai tanda kasih buat saudara seakidah.
Katanya setiap uncang sebagai satu juadah berbuka bernilai RM15.
QR juga disediakan bagi memudahkan orang ramai bersedekah. Infaq boleh dibuat melalui https://www.billplz.com/UncangRamadhan
Atau boleh hubungi talian +6011 2616 2010 (Hotline Cakna Palestin) bagi mendapat maklumat lanjut.


0 Comments