KUALA LUMPUR: Lembaga
Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ditegur Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)
kerana gagal mengemukakan penyata kewangan selama empat tahun berturut-turut
sejak 2021.
Perkara itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 bagi tahun 2024.
Ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, kelemahan tersebut pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, teguran agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu bukan sesuatu yang baharu.
Menurut beliau, laporan itu memberi kesan mendalam kepada imej kerajaan terutamanya melibatkan agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sosio ekonomi penduduk luar bandar di hulu Kelantan.
"Ini satu perlanggaran serius prinsip accountability, mengapa kementerian sebagai penyelia tidak bertindak lebih awal, adakah pegawai dikenakan tindakan.
"Jika penyata kewangan pun tidak dapat diserahkan, bagaimana kita mahu yakin tiada ketirisan berlaku dan tiada penyalahgunaan kuasa, kelewatan tidak boleh dianggap perkara biasa," katanya ketika perbahasan LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat semalam.
Laporan itu dibentangkan 23 Februari lalu oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Salamiah juga berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut disebut bersama Kesedar mengalami masalah kelewatan mengemukakan penyata kewangan bagi 2024.
Katanya, walaupun laporan itu tidak menjejaskan pengeluaran, namun ia memberi kesan besar terhadap perspektif pelabur dan membuka ruang pesaing antarabangsa mempersoalkan kredibiliti industri sawit tempatan.
"Laporan menyatakan proses pengauditan belum selesai, mengapa ia berlaku. Adakah dokumen tidak lengkap atau terdapat penemuan audit yang lebih serius.
"Kelewatan audit terhadap agensi strategik seperti MPOB boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan industri," katanya.


0 Comments