Lelaki berpakaian ‘ikan duyung’ disiasat

Oleh Salmah Mat Husain | Foto Asri Hazim |

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai syariah dan norma masyarakat.

Bagaimanapun sebarang tindakan akan diambil secara berhemah serta mengikut lunas undang-undang.

Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, seorang lelaki berpakaian menyerupai ikan duyung yang dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai di Pengkalan Chepa pada Ahad lalu ditahan di rumahnya di Chetok, Pasir Mas, pada Isnin.

Kata beliau hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai menerima bayaran sebanyak RM200 bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman.

Menurutnya, tarian dan aksi tersebut dirakam sehari sebelum Ramadan dan videonya disiarkan pada hari pertama puasa sehingga tular di media sosial.

Dr Fadzli berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK)  mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Satu kertas siasatan dibuka serta tindakan lanjut diambil mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

“Keterangan telah direkodkan dan lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 19 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 berkaitan lelaki berlagak perempuan serta Seksyen 21 berkaitan perbuatan tidak sopan.

“Selepas proses dokumentasi dan siasatan awal selesai, suspek dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarah hadir semula pada 8 Jun bagi tujuan prosiding,” katanya selepas Mesyuarat Exco di MABNA, Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan peniaga air balang terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan kerana perniagaannya berlesen.

Katanya, pihak berkuasa memberi notis supaya video tersebut dipadamkan dan peniaga terbabit hanya membuka jualan pada hari pertama Ramadan sebelum menghentikan operasi.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 26 saat tular memaparkan lelaki berkostum berwarna terang menari di hadapan gerai minuman bagi menarik perhatian pelanggan, yang mengundang pelbagai reaksi netizen.


Post a Comment

0 Comments