Isteri wakil rakyat turun padang agih bantuan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan (Purnama) mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) sempena Ramadan.

Sumbangan tersebut melibatkan 20 penerima bagi setiap Dun. Setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM150.

Majlis penyampaian sumbangan dibahagikan kepada empat zon. Pengerusi Purnama, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaakob mengagihkan sumbangan di zon dua baru-baru ini.

Zon dua merangkumi Dun Bukit Panau, Kemahang dan Gual Ipoh, Air Lanas, Bukit Bunga, Kuala Balah, Chetok, Gual Periok, Apam Putra, Meranti, Pengkalan Pasir dan Tendong.

Berucap pada majlis tersebut Wan Nor Hanita berkata, sumbangan diberi bertujuan meringankan beban golongan memerlukan khususnya persiapan menyambut Ramadan.

Katanya sumbangan berkenaan diharap dapat menggembirakan golongan asnaf serta memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan.

“Para ibu tidak pernah dilupakan dan kehadiran kami hari ini untuk membantu golongan asnaf. Dengan pertemuan ini kita juga dapat mengeratkan hubungan bersama rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan wanita memperbanyakkan amal ibadat sepanjang Ramadan kerana ganjarannya lebih besar berbanding bulan-bulan lain.

Zon Satu pula melibatkan 13 Dun di kawasan Parlimen Kota Bharu, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Tumpat.

Zon tiga membabitkan 10 Dun di kawasan Parlimen Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala zon empat merangkumi Parlimen Pasir Puteh, Bachok dan Ketereh melibatkan 10 Dun.


 

Post a Comment

0 Comments