Pemimpin politik perlu mudah ukir senyuman

 

Foto: Ahmad Haikal Abdul Rashid |

KOTA BHARU: Ramadan tahun ini kerajaan negeri memilih ayat 24 hingga 28 surah al Anfal yang ditadarus bersama rakyat di seluruh Kelantan.

Program itu bermula 1 Ramadan lepas yang diadakan di masjid dan surau. Program tadarus bermula dengan solat Asar berjemaah dan berakhir menjelang iftar.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri dan PAS menganjurkan program tadarus dengan mengetengahkan surah pilihan dan dikupas isi kandungnya.

Katanya, surah tersebut diulas oleh pemimpin bagi memberi kefahaman kepada orang ramai untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Ayat terbabit menjadi teks tadarus rasmi kerajaan negeri sempena bulan Ramadan tahun ini untuk dihayati bersama rakyat," ujarnya pada Takzirah Ramadan di Dewan Zulkifli Muhamad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Setiausaha PAS negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, wakil-wakil rakyat dan pimpinan PAS.

Menteri Besar juga berkata, pemimpin politik perlu cakna terhadap rakyat tanpa mengira taraf kehidupan mereka.

Kata beliau pemimpin yang mengikuti jejak apa yang diajar Rasullullah SAW tidak akan mudah ditolak rakyat kerana mempunyai hubungan akrab dengan masyarakat.

“Kita boleh mengambil pengajaran terhadap apa yang dilakukan Nabi Muhammad SAW di mana baginda sering melayan budak, OKU dan orang tua. Malah Nabi SAW melayan seorang OKU, Abdullah Ummi Maktub ketika baginda sedang berunding dengan pemimpin Quraisy.

“Abdullah seorang OKU yang buta penglihatan tidak tahu ketika beliau menyapa Nabi SAW, baginda sedang berunding dengan pemimpin kaum Quraisy,” ujarnya.  

Begitu juga katanya pemimpin atau wakil rakyat kalau jumpa rakyat hendaklah mudah mengukirkan senyuman sebagai usaha bagi menarik simpati mereka.  


 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments