Kelantan perkenal sambutan Bulan Emas

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Peniaga dan pemilik kedai emas disaran mengurangkan kadar upah pertukangan barangan kemas bagi merancakkan kemasukan pelancong ke Kelantan sempena musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Kelantan, Dato’ Kamarudin Md. Nor berkata, langkah itu selari dengan visi kerajaan negeri untuk mempromosikan sektor pelancongan sepanjang Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, harga emas tidak boleh dikurangkan kerana ia tertakluk kepada nilai pasaran global, namun kadar upah boleh disesuaikan bagi menarik minat pembeli.

“Sempena Bulan Emas Kelantan 2026 yang bermula 1 hingga 31 Mac ini, kita sarankan peniaga emas mengurangkan kadar upah barangan kemas. Bulan depan kita akan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sini hari ini.

Tambahnya, penganjuran Bulan Emas Kelantan merupakan usaha kerajaan negeri membantu pengusaha kedai emas tempatan, di samping merangsang aktiviti ekonomi.

“Kelantan negeri pertama memperkenalkan bulan emas kerana barangan kemas sinonim dengan masyarakat di sini. Selain makanan, perniagaan emas antara sektor pelancongan yang melonjakkan ekonomi negeri,” katanya.

Kamarudin juga berkata, kerajaan negeri giat mempromosikan destinasi jualan emas termasuk Pasar Besar Siti Khadijah, Bazar Tuan Padang serta premis-premis barangan kemas di bandar Kota Bharu.

“Tahap keselamatan di premis jualan emas di Kelantan juga terjamin, sekali gus membantu menarik pelancong ke negeri ini,” katanya.

Beliau berharap inisiatif itu dapat meningkatkan kedatangan pelancong dan memperkukuh sektor ekonomi berasaskan pelancongan serta perdagangan emas di negeri ini.


Post a Comment

0 Comments