Oleh Salmah Mat Husain | Foto Asri Hazim |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Pejabat Setiausaha Kerajaan
(SUK) sekiranya terdapat asas kukuh berhubung dakwaan amalan ‘anak-beranak’ dan
salah guna kuasa.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pentadbiran negeri tidak pernah menghalang mana-mana agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab sejak era kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita terbuka dari dahulu sampai sekarang. SPRM ada kuasa dan undang-undang sendiri untuk menyiasat.
“Jika ada asas untuk pendakwaan, teruskan. Kita tiada masalah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, semalam.
Baru-baru ini tular di media sosial supaya SUK Kelantan disiasat susulan penahanan seorang anggota Exco Kerajaan Terengganu oleh SPRM atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan ahli keluarga.
Dr Mohamed Fadzli berkata, dakwaan pelantikan ahli keluarga dalam jabatan kerajaan negeri perlu dinilai secara adil dan berdasarkan fakta, bukan persepsi.
“Kalau pelantikan dibuat mengikut kelayakan dan memenuhi syarat, ia bukan satu kesalahan. Tetapi jika tidak cukup syarat dan tetap dilantik, itu memang wajar disiasat.
“Kalau SUK negeri lain boleh disiasat, siasatlah semua. Jangan hanya fokus kepada satu negeri sahaja. Kita mahu keadilan yang sama,” katanya.

0 Comments