Oleh: Syamimi Manah | Foto: Media YB Dato’ Rohani Ibrahim
KOTA DARULNAIM, 23 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kelantan mengadakan perbincangan berhubung isu melibatkan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dalam satu sesi kunjung hormat yang berlangsung Isnin lalu.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan YB Dato' Rohani Ibrahim, menerima kunjungan wakil PPDK yang menghimpunkan sebanyak 46 buah pusat dari seluruh Negeri Kelantan.
Menurutnya, pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan yang sangat bermakna khususnya dalam usaha memperkasa anak-anak OKU masalah pembelajaran yang sedang mengikuti program di PPDK.
“Alhamdulillah, saya menerima kunjungan hormat daripada wakil Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kelantan yang menghimpunkan sebanyak 46 buah PPDK di seluruh Negeri Kelantan,” katanya di laman sosial rasmi beliau, semalam.
Beliau berkata, sesi itu turut memberi peluang untuk meneliti keperluan serta cabaran semasa yang dihadapi oleh pusat-pusat PPDK.
Tambahnya, segala usaha yang digerakkan secara bersama antara kerajaan negeri dan penggerak komuniti diharap menjadi amal soleh berpanjangan serta memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya keluarga OKU di negeri ini.



0 Comments