Pelantikan pengerusi baharu PN tarik perhatian di parlimen

 

Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Pelantikan pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) turut mendapat perhatian di Dewan Rakyat apabila ahli parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman membangkit isu tersebut.

Beliau menyampaikan dalam bentuk pantun empat kerat ketika mengakhiri perbahasan Rang Undang-undang (RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 hari ini.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada bekas pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pelantikan Ahli Parlimen Kemaman Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kaitan rapat dengan agenda hak wilayah termasuk pertikaian isu royalti petroleum.

"Saya akhiri dengan serangkap pantun Yang Dipertua, tahniah Kemaman pengerusi PN baharu, terima kasih Pagoh atas khidmat bakti, hak negeri dijamin selalu, demi keadilan tanah pertiwi, sekian terima kasih," katanya.

Semalam Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu menggantikan Muhyiddin.

Terdahulu dalam perbahasan, Syahir menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan RUU tersebut yang bakal memberi sedikit kelapangan bagi kerajaan negeri bagi menyusun perbelanjaan dan pembangunan.

Beliau juga menyarankan kerajaan menyemak semula kadar geran perkapitan yang termaktub di bawah Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan, di mana kali terakhir disemak hampir 24 tahun lalu.

"Semakan ini dibuat bagi menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan kewangan semasa yang dihadapi negeri-negeri khususnya peningkatan kadar inflasi dan pertambahan populasi.

"Perkara ini saya bangkitkan bukan sekadar berkaitan keperluan kewangan yang dihadapi negeri-negeri tetapi ketulusan persekutuan menghormati hak negeri negeri dan semangat federalisme," katanya.

Post a Comment

0 Comments