Laporan Ketua Audit dedah dana MARDI disalahguna

 
Oleh Intan Lestari |

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara mendedah pelaksanaan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 mengalami kegagalan teruk.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan baru-baru ini mendedahkan sejumlah besar ketirisan, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat melibatkan berbilion ringgit.

Katanya, laporan itu mengejutkan pelbagai pihak seolah-olah menidakkan slogan ‘tatakelola’ yang sering dilaung kerajaan Madani sebelum ini.

“LKAN melaporkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.56 bilion untuk program R&D&C&I pada RMKe-12. Namun, didedah hanya 34.1 peratus daripada projek-projek yang dirancang berjaya disiapkan.

"Sasaran KDNK bagi Perbelanjaan Kasar R&D (GERD) juga gagal dicapai, dengan hanya mencatatkan 1.01 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 2.5 peratus," katanya di Dewan Rakyat.

Lebih membimbangkan lagi kata beliau sebanyak RM183.11 juta baki dana penyelidikan daripada projek-projek yang telah siap atau dihentikan tidak dipulangkan oleh 11 agensi pelaksana.

Menurutnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencatatkan baki tertinggi, berjumlah RM110.67 juta yang tidak dikembalikan melibatkan lima universiti penyelidikan.

“Mengapa kementerian dan agensi-agensi berkenaan gagal mengawasi penggunaan dana tersebut sehingga ia terbiar begitu lama.

“Turut dinyatakan terdapat pelanggaran ketara peruntukan yang diluluskan untuk MARDI. Sebanyak RM33.80 juta daripada peruntukan pembangunan R&D&C&I telah disalahgunakan.

"Perbelanjaan terbabit digunakan untuk tujuan tidak berkaitan, termasuk membayar RM12.90 juta untuk tuntutan perjalanan pegawai dan RM10.90 juta untuk emolumen staf kontrak", ujarnya

Oleh itu beliau menuntut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi penjelasan mengenai isu terbabit.

Kata beliau juga pendedahan mengejutkan mengenai Projek i-Breath di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang bernilai RM1.06 juta.

Katanya, laporan mendapati 19 unit prototaip yang sepatutnya dibangunkan dalam projek tersebut hilang dari makmal dan tidak dapat dikesan.

Lebih serius hak cipta harta intelek yang sepatutnya menjadi milik kerajaan didaftarkan atas nama ketua penyelidik, mencetuskan persoalan mengenai salah guna kuasa dan kecuaian dalam pengurusan dana awam,” ujarnya.


 

Post a Comment

0 Comments