Oleh Salmat Mat Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan meneliti rungutan dalam kalangan pekerja pasar raya yang terpaksa bekerja pada hari pertama Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, terdapat pekerja yang memohon supaya amalan penutupan penuh pada hari pertama Aidilfitri dikembalikan.
Katanya perkara tersebut diberi perhatian serius memandangkan pekerja terlibat terpaksa bertugas pada hari raya pertama.
“Sedangkan sebelum ini kebanyakan premis perniagaan di Kelantan menutup operasi pada hari pertama Aidilfitri bagi membolehkan pekerja menyambut hari raya bersama keluarga.
“Namun ada rungutan di media sosial dalam kalangan pekerja pasar raya yang meminta supaya amalan sebelum ini diguna pakai semula pada hari pertama Aidilfitri.
“Kita memandang serius perkara ini dan akan membuat kajian semula,” katanya kepada selepas mesyuarat Exco di MABNA MBI di sini, semalam.
Bagaimanapun kata beliau ada pasar raya besar terikat perjanjian dengan vendor serta pengurusan di peringkat pusat yang melibatkan operasi di seluruh negara.
Menurutnya berdasar maklumat tersebut keputusan berkaitan operasi bukan ditentukan di peringkat negeri semata-mata.
Sehubungan itu, kajian menyeluruh akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pekerja, pihak pengurusan pasar raya dan pihak berkepentingan lain.
Katanya, langkah tersebut bertujuan mencari penyelesaian terbaik yang seimbang antara kebajikan pekerja dan keperluan operasi perniagaan.
“Hasil kajian ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang untuk mendapatkan pengesyoran dan keputusan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular luahan pekerja pasar raya yang meminta kerajaan negeri mengeluarkan arahan supaya semua premis perniagaan menutup operasi pada hari pertama Aidilfitri.

0 Comments