Madinah Ramadan tampil konsep bandar pintar Islamik

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Program solat tarawih di bawah khemah yang mempamerkan keunikan setiap kali Ramadan di Kelantan tahun ini memasuki siri ke-34.

Program itu bermula di Dataran MPKB berhampiran stesen bas SKMK di Jalan Padang Garong dengan menyediakan khemah kecil. Lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai menunaikan solat tarawih.

Selepas mendapat sambutan menggalakkan akhirnya lokasi solat tarawih dipindah ke Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, dengan menyediakan khemah lebih besar dan selesa. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, Madinah Ramadan menjadi simbol syiar Islam kali ini menampilkan konsep bandar pintar Islamik.

“Penganjuran Madinah Ramadan tahun ini diperkasakan selari pengiktirafan Kota Bharu sebagai Elite Smart City – Elite Adopter oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pada Disember lalu.

“Persiapan di tapak Madinah Ramadan kini giat dijalankan termasuk pemasangan khemah utama yang dijadualkan siap pada 12 Februari ini,” katanya selepas meninjau tapak Madinah Ramadan hari ini.

Kerja-kerja pemasangan hiasan dalaman serta sistem teknikal dijangka siap menjelang Ramadan 19 Februari.

Khemah utama mampu menampung sehingga 2,000 jemaah dengan memberi keselesaan kepada pengunjung sepanjang Ramadan.

Hilmi berkata, tema penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada integrasi teknologi pintar dalam pengimarahan Ramadan tanpa mengabaikan nilai dan roh Islam.

“Antara pembaharuan diperkenalkan ialah paparan ayat al-Quran serta surah yang dibacakan imam menerusi skrin LED, penggunaan sistem pencahayaan pintar dan kemudahan sumbangan derma menggunakan kod QR,” katanya.

Menurutnya juga program pengajian al-Quran turut diperkasakan menerusi pendekatan lebih interaktif dengan penyediaan lima stesen khas di sekitar padang Ramadan.

Setiap stesen dilengkapi peranti digital bagi membantu pengunjung mempelajari bacaan al-Quran, tajwid dan tafsir secara kendiri melalui paparan skrin dan audio.

Beliau juga berkata, dua imam jemputan dari Mesir akan tiba tidak lama lagi. Selain itu penganjuran majlis makan malam penajaan akan diadakan di Kuala Lumpur bagi mengumpul dana.

Manakala majlis pelancaran tabung dana Madinah Ramadan akan diadakan pada 13 Februari di Medan Ilmu.

“Kemuncak program dijadual berlangsung pada 8 Ramadan menerusi Majlis Pelancaran Madinah Ramadan di tapak utama, termasuk pelancaran buku khas bertajuk ‘Sejarah Padang Ramadan’ yang menghimpunkan dokumentasi perjalanan program serta kenangan tokoh-tokoh terdahulu,” katanya.

Tambah beliau, program tradisi seperti seminar dan kuliah akan dikekalkan di samping penambahbaikan bagi memastikan Madinah Ramadan kekal relevan serta memberi impak kepada masyarakat.

Post a Comment

0 Comments