PAS Pusat bincang permohonan 3 bekas Adun

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Permohonan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis menyertai semula PAS selepas keahlian mereka terhenti sebelum ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pusat Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS Pusat dimaklumkan mengenai permohonan semula tersebut.

“Setakat ini saya belum menerima borang permohonan mereka secara rasmi,” katanya selepas melawat gudang simpanan barang terbakar di Jalan Kebun Sultan terbakar semalam.

Baru-baru ini media melaporkan Majlis Syura Ulama PAS menerima borang permohonan keahlian baharu dikemukakan tiga bekas Adun yang dihentikan keahlian ekoran kemelut politik Perlis.

Bekas Adun terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya pada kenyataan memaklumkan permohonan itu akan diserahkan kepada pejabat Setiausaha Agung untuk pertimbangan PAS Pusat.

PAS menghentikan keahlian tiga bekas Adun terbabit pada 24 Disember lalu berikutan kemelut politik di Perlis sehingga menyebabkan Mohd Shukri Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Tiga bekas Adun terbabit bersama lima Adun Bersatu difahamkan menandatangan surat akuan bersumpah bagi menyingkirkan Mohd Shukri.  

 

 

 

Post a Comment

0 Comments